Monday, January 21, 2008

artis tempatan jadi superman.huhu....



TIRAI kontroversi tahun 2008 nampaknya dimulakan dengan penyanyi muda, Faizal Tahir. Baru saja ledakan kisah aksinya ‘menggelongsor’ dalam rancangan separuh akhir Muzik-Muzik kategori Balada hendak berakhir, kini timbul lagi satu kontroversi.

Pucuk baru yang berjuang di landasan ‘rock’ ini sekali lagi melakar ‘kejayaan’ peribadi gara-gara beraksi keterlaluan.

Kali ini Faizal tanpa segan silu membuka baju di pentas menunjukkan dada bidangnya kepada peminat, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana artis tempatan sebelum ini.


Bukan itu sahaja, Faizal juga dengan beraninya membuka tali pinggang yang dikenakannya ketika membuat persembahan sempena ulang tahun ke-4 TV8 baru-baru ini.

Natijahnya, Faizal mengundang padah untuk diri sendiri.

Selepas didenda syarikat pengurusannya sendiri dan royalti albumnya disekat, terbaru Faizal berhadapan dengan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Penyanyi Mahakarya Cinta itu dilarang muncul dalam sebarang rancangan secara langsung ataupun tertunda untuk tempoh selama tiga bulan.

Ini bermakna wajah Faizal tidak akan muncul di mana-mana saluran televisyen swasta dalam tempoh hukuman berkenaan yang bermula 15 Januari lalu.

Sikap luar biasa Faizal itu bukan sahaja menyusahkan dirinya sendiri, tetapi turut mengheret 8TV ke dalam keadaan yang sukar.

SKMM turut menarik balik serta-merta kelulusan bersiaran langsung atau tertunda bagi rancangan konsert dan program berbentuk hiburan stesen 8TV dalam tempoh yang sama.

Begitulah kesannya. Kadang-kadang, boleh pening kepala dibuatnya memikirkan gelagat sesetengah artis sekarang.

Mereka sanggup lakukan benda-benda yang dianggap tidak wajar tanpa mengkaji terlebih dahulu impaknya di kemudian hari.

Siaran televisyen yang dipancarkan secara langsung dan ditonton jutaan peminat itu sedikit sebanyak telah memalit arang di muka para penggiat seni tanah air khususnya kelompok penyanyi.

Usai sudah isu lamanya, satu lagi dicipta. Apa semua ini?

Sekiranya populariti yang didambakan Faizal dengan membuka baju dan menunjukkan tubuhnya kepada khalayak, itu bukanlah satu cara yang waras.

Malah jika dia berfikir itu sesuatu yang baik untuk pekembangan kerjayanya, nyata percaturan Faizal tersasar.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez menganggap tindakan Faizal adalah sesuatu yang terkeluar dari norma masyarakat Timur.

Walaupun mungkin niatnya murni untuk memberi kelainan dan menghiburkan peminat, Faizal perlu lebih berwaspada.

“Kita tak perlu nak ikut gaya penyanyi Barat yang sanggup tanggal seluar di pentas. Itu budaya mereka.

‘’Saya harap tindakan pihak kerajaan dapat buka mata Faizal untuk lebih berhati-hati di masa depan,’’ katanya.

Mengulas tentang tindakan yang dikenakan ke atas Faizal, Freddie berharap ia sudah cukup memberi pengajaran.

Rocker senior, Hattan pula menjelaskan Faizal harus menerima apa yang telah ditetapkan kementerian berkenaan dengan hati terbuka.

Dalam waktu sekarang penyanyi itu perlu bersedia menerima hukuman atas perbuatannya sendiri.

“Itu dia kena tanggung sendiri,” tegas Hattan memberi reaksi kepada isu berkenaan.

Penyanyi Biso Bonar ini memberitahu, sebelum memulakan persembahan setiap penyanyi perlu berfikir terlebih dahulu apa yang bakal dilakukan di depan khalayak.

Seboleh mungkin artis perlu mengelakkan diri dari melakukan perkara kurang elok yang boleh merosakan nama dan kerjaya sendiri.

“Cuma saya tak faham kenapa dia perlu buat begitu. Orang lainpun ‘rockers’ juga. Bagaimanapun baik saya, Awie atau Amy (Search) tak pernah terfikir nak buka baju depan peminat,” katanya Hattan.

Hattan bagaimanapun menjelaskan, perbuatan Faizal perlu dimaafkan disebabkan dia masih baru dan belum masak lagi dengan industri.

“Kasihanilah dia, jangan terus menghukum. Bagi peluang kepada Faizal kerana dia memiliki bakat yang bagus asalkan dia janji tidak ulangi tindakan lamanya itu,” ungkapnya penuh toleransi.

siapa sangka peyanyi nasyid boleh bertukar menjadi superman.hehe....

FAIZAL (dua dari kanan) pernah menggotai kumpulan nasyid Mirwana.

Sementara itu penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani, Muhamad Asri Ibrahim berharap insiden yang berlaku kepada Faizal dapat dijadikan iktibar kepada semua pihak.

Menurut beliau, meskipun Faizal adalah bekas anggota kumpulan nasyid, perlakuan setiap individu berbeza bergantung kepada niat yang tersendiri.

“Ada yang mengaitkan Faizal sebagai bekas penyanyi nasyid dalam situasi ini, tapi saya tak kisah.

“Yang penting dia melibatkan diri dalam industri ini dengan tujuan apa? Saya harap dia ambil iktibar dengan apa yang berlaku serta akur dengan hukuman yang dikenakan.’’ katanya.

Manakala rakan seperjuangan Faizal dalam OIAM, Farah Asyikin pula tidak terkejut dengan aksi yang dibuat oleh Faizal itu.

Katanya, Faizal memang terkenal dengan gaya energetik di pentas dan sentiasa mahu tampil dengan kelainan.

“Dan sekarang Faizal harus menanggung sendiri kesilapan yang dilakukannya kerana ramai beranggapan ia melampaui batas,’’ kata Farah.

Farah mengakui terdapat sesetengah peminat yang datang bertanya pendapatnya mengenai kelakuan Faizal memandangkan mereka terlibat sama dalam OIAM beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun katanya dia tidak mahu dengan mudah menyalahkan penyanyi berkenaan atas apa yang berlaku.

“Adakalanya perbuatan yang kita anggap remeh akan dipandang berat oleh orang lain. Apatah lagi Faizal adalah bekas anggota kumpulan nasyid,” ujar penyanyi lagu Seribu Penipuan ini.

0 comments: